Tuesday, 13 December 2016

All About Batik !!!!





Definisi Batik


Seni batik merupakan satu kaedah reka bentuk dan pencorakan tekstil yang diasaskan daripada penggunaan lilin serta bahan pewarna samada penggunaan pewarna dari alam semulajadi mahupun pewarna moden.

Kebiasaannya lilin yang digunakan merupakan bahan utama berfungsi sebagai pemisah warna samaada dilukis menggunakan canting mahupun yang diterap menggunakan blok-blok motif pada permukaan tekstil.

Kemudiannya warna yang dihasilkan pada permukaan tekstil adalah melalui kaedah celupan atau menggunakan kaedah berus.

Keistimewaan dan keunikan seni batik terletak pada ciri yang berlainan bagi corak dan kesan yang terhasil. Oleh itu, keunikan batik itu sendiri adalah kerana setiap batik yang dihasilkan tidak akan serupa dengan yang lain walaupun menggunakan canting, blok cap dan warna yang sama.






Motif Batik


Motif ialah corak-corak hiasan yang digunakan dalam proses melukis dan menerap batik. 

Terdapat dua bentuk utama motif iaitu motif organik dan geometrik. 

Motif organik melibatkan penggunaan unsur-unsur alam semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan dan bunga manakala motif geometrik lebih tertumpu kepada corak bentuk-bentuk geometrik seperti segi tiga, segi empat dan sebagainya.




















Contoh motif organik:


1.Motif Ayam
2.Motif Bunga Buluh
3.Motif Bunga Kerak Nasi
4.Motif Bunga Kotak Bercampur
5.Motif Bunga Orkid
6.Motif Bunga Raya
7.Motif Daun Sireh
8.Motif Geometrik
9.Motif Pucuk Rebung
10.Motif Rama-rama
11.Motif Siput








Corak Batik
Corak ialah bagaimana motif-motif yang dipilih dicorakkan di atas kain batik tersebut. Corak terdiri daripada gabungan motif-motif organik mahupon geometrik dilukis di atas akin batik tersebut.

Jenis-jenis corak yang digunakan
1.Corak Berdiri
2.Corak Jalur
3.Corak Melintang
4.Corak Menyeluruh
5.Corak Menyerong
6.Corak Tompok-tompok
7.Corak Ulangan Batu-bata










Proses Penghasilan Batik Terengganu 

Langkah 1:
Meregang atau menegang adalah antara proses awal dalam pembuatan batik. Kain putih atau kain dasar dipotong mengikut ukuran yang diperlukan. Kain ini kemudiannya diregang dengan menyangkut kedua-dua hujung kain pada susunan paku yang terdapat pada alat pemidang mudah alih atau meja terap.


Langkah 2:
Corak batik yang telah dipilih perlulah dilukis di atas kain tersebut dengan menggunakan pensel. Motif yang diingini boleh dipilih bedasarkan motif tradisional, flora, fauna, geometri, organik atau abstrak. 


Langkah 3:
Proses mencanting dilakukan dengan menggunakan sejenis alat yang dipanggil canting. Campuran lilin cair dimasukkan ke dalam alat canting dan kemudian dilakar di atas permukaan kain dasar yang diregang di atas pemidang. Lakaran lilin ini dilakukan bagi menghalang bahan pewarna daripada bercampur dan meresap masuk ke kawasan lain. Proses ini juga adalah antara proses-proses yang dilakukan untuk menghasilkan batik canting.


Langkah 4:
Bancuh warna yang diingini.Warna yang dipilih perlulah dibancuh dalam bekas yang berlainan agar tidak berlaku percampuran warna. Seterusnya, warnakan corak yang dipilih dengan menggunakan pewarna batik. Mewarna memainkan peranan penting dalam proses menghasilkan batik yang cantik dan indah. Pada awalnya, warna-warna semulajadi digunakan secara meluas dalam pembuatan batik. Kemudian pelbagai warna telah digabung seperti campuran warna yang kontra, gelap dan cerah, dan pelbagai teknik warna diaplikasikan untuk mewarna batik. Antara teknik-teknik batik adalah Teknik Alfa, Teknik Semburan Angin (Air Brush), Teknik Menarik, dan lain- lain. Pengeluar dan pereka batik tempatan sentiasa melakukan kajian dan penyelidikan tentang penggunaan warna-warna batik supaya warna tidak mudah luntur dan menampilkan warna-warna menarik serta mengikut perkembangan warna semasa.


Langkah 5:
Mematikan warna. Sodium silikat digunakan sebagai bahan pemati warna. Proses ini dilakukan untuk memastikan warna yang dilukis tidak akan luntur apabila dibasuh. Seterusnya, rendamkan kain tersebut kedalam air selama empat jam. Setelah empat jam direndam, kain tersebut perlulah dibasuh dan direbus dengan air yang dicampur dengan soda ash. Tujuannya adalah untuk menghilangkan lapisan lilin pada permukaan kain tersebut. Seterusnya kain tersebut dibasuh sekali lagi dan dibilas.


Langkah 6:
Jemur produk yang dihasilkan sehingga kering. Setelah itu, bingkaikan produk untuk meningkatkan lagi aspek peragaan. Akhirnya, berikan jenama pada produk yang dihasilkan.










No comments:

Post a Comment